Makin pandang bertambah cantik
Bunga rampai harum baunya
Kalau dah jodoh bertemu jua
Bunga rampai ditabur-tabur
Hati longlai jadi terhibur
Bunga rampai harum berbau
Biar lerai hati yang rindu
Kompang dipalu, pengantin baru
Duduk bersanding tersipu malu
Kompang dipalu, pengantin malu
Moga bahagia ke anak cucu
Kami doakan moga berkekalan
Selamat sejahtera hingga akhir zaman
Alhamdulillah.. Tak putus-putus Dara mengungkapkan syukur sedari tadi. Akhirnya Dara selamat diijabkabulkan. Dua hati kini menjadi satu. Walaupun pelbagai dugaan terpaksa dihadapi namun berkat kesabaran dan jodoh yang kuat, ikatan ini termeterai jua dengan izinNya.
Masih jelas terngiang di telinga Dara tatkala Aduka lancar melafazkan akad dengan tenang pagi tadi. Rasa syahdu dan gembira yang sukar digambarkan hadir mengepung jiwa serentak dengan rasminya Dara menjadi isteri kepada Aduka. Menitis juga air mata Dara sewaktu Aduka tunduk mengucup tulus dahi ini. Detik itu, Dara turut berikrar untuk menjadi suri terbaik buat Aduka dan hati Dara pun berkembang penuh dengan bunga-bunga ceria dan pelangi bahagia.
Mata Dara tertancap pada jam di dinding yang telahpun melewati angka 11. Lantas mata Dara merayap melihat bilik yg dihias indah ini, bersendiri melepaskan lelah buat seketika setelah seharian melayan tetamu yang datang berkunjung tanpa henti dari pagi. Dara melirik ke depan. Bias seri seorang pengantin terpantul jelas pada cermin meja solek antik ini. Tuntas ingatan Dara terbang pada Teruna. Apa agaknya perasaan Teruna kalau Teruna mendengar tentang perkhabaran ini?
Dara amat berharap yang Teruna dapat menerima penyatuan Dara dan Aduka selepas perpisahan antara Dara dan Teruna suatu ketika dahulu. Dara tahu Teruna masih memendam rasa namun hati Dara tak mampu dibahagi dua sementelah hati Dara lebih terikat pada Aduka. Bukan Dara tak kasihan namun Dara tak mahu menipu dan berdolak-dalih. Hanya berterus-terang merupakan jalan yang terbaik biarpun kelak akan mengakibatkan penderitaan dan kekecewaan.
Bagi Dara, biarlah kecewa hari ini daripada menanggung derita yang berpanjangan esok hari. Dara cuma mampu mendoakan kebahagiaan dan ketenangan buat Teruna. Kadangkala Dara terfikir sama ada kehadiran Aduka dalam hidup Dara ini merupakan satu ujian ataupun satu anugerah. Namun yang pasti kedua-duanya adalah rahmat dan nikmat dari Yang Esa. Dara terima dengan hati yang terbuka. Biarpun kehidupan hari esok masih samar-samar dan tak menjanjikan kebahagiaan namun Dara akan tetap melangkah dan menempuhinya dengan redha dan pasrah akan ketentuanNya.
Dara menghela nafas. Dara memejamkan mata, cuba mencari kekuatan dan meraih ketenangan kembali. Tiba-tiba bahu Dara diramas lembut. Terpapar wajah tenang Aduka mengorak senyum di layar mata tika Dara mendongak ke sisi. Pantas melayang segala lamunan yang meresahkan. Dara lantas membalas mesra senyuman sang suami dengan senyuman yang paling manis. Dan hanya tinggal jiwa yang berkata-kata saat mata bertentang mata, memancarkan sinar bahagia, kasih dan sayang yang suci abadi.
Kurniaan tuhan fitrah insani
Dan di mana terciptanya cinta
Di situ rindu bermula
Cinta itu tidak pernah meminta
Tetapi memberi sepenuh rela
Rasa bahagia biarpun sengsara