Friday, April 23, 2010

Orang Ikhlas Itu Tertindas...

Dapat artikel ni melalui email. Sharing is caring... :)

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”

Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,”
balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

5 komen:

uglybeautyme said...

kadang2 kite terlpas utk bersyukur ttg nikmat2 yg lain bile terlampau fokus pada sst.
hidup xperlu mewah utk merasa bahagia:D

- just me - said...

betul tu.. bila dah terlalu byk nikmat dariNya yg kita kecapi, kita perlahan2 mulai lupa diri & hanyut dlm arus duniawi.. sbb tu Islam pesan supaya hidup berwasatiah.. :) supaya tak lupa langit yg dijunjung & ingat akan bumi yg dipijak..

iDAN said...

dalam satu sudut kejiwaan memang begitu tapi dalam satu sudut pejuangan keadaan ini kena dibetulkan...

itu yang terjadi di negara yang teruk korapsinya ramai rakyat melata miskin malahan menjadi pelarian ke luar negara lantaran ada pihak sepert kelompak org yg mendera kakak ini...

kita membiarkan tanpa perjuangan...

saya tetap simpati dengan kakak ini sebab kenaikan pangkat bukan untuk dia sebenarnya tapi untuk anak-anak & isterinya

anak-anaknya berjaya bukan dari dari imbuhan dia dari izin Ilahi tentunya org yang berkerja untuk memantau ini nanti akan diperdebatkan di sana.. izin Ilahi bukan hanya buat orang susah, orang kaya pun anaknya bagai dewa...

sebab itu banyak negara yang hampir musnah seperti di Jepun mereka tidak amalkan sikap kita di sini, kebajikan pekerja kita amat naif berbanding mereka!...

saya sebut sebab dulu hampir 10 tahun kerajaan jumudkan segala imbuhan, saya duduk merempat dalam tempoh itu kemudian saya merasa kejap berkerja dalam imbuhan baru; bukan naik pangkat pun macam kakak tadi; ada sara hidup, elaun rumah pelbagai...

tenguk apa kesannya pada orang macam kami? rata-rata golongan kami sakit kronik memikir soal hidup ini, telah terlambat...

panduan agama jangan kita permainkan, ramai kalangan KJ kini saya tenguk tak ada asas pemtadbiran main pancung sahaja ini amat bahaya!...

saya bersimpati dengan kakak ini & malaikat yang menjaga dia pun saya rasa tak memaafkan majikan dia itu; amat saya pasti, jangan pula kita mahu perbodohkan kakak ini lagi dengan dongengan dunia ini Dik Ieja, taku anak cucu kita senasib dengan kakak ini!

Apa yang akak ceritakan ini masih ujud ini kena dibetulkan.. sungguh!, maka itu kerajaan ujudkan Biru Aduan Awam.

Jangan kita berkompromi dengan majikan yang mengambil hak kakak ini... jangan!

Mantan PM Pak Lah sendiri memihak saya dalam perjuangan ini... sama macam masalah kakak ini!...

Dik Ieja tahukan perjuangan saya; sinarnya telah nampak kini!... tapi saya tidak di sana lagi.

- just me - said...

abg iDAN,

ketara dr komen yg abg catatkan, terselit amarah yg amat sgt.

satu ketika dulu saya sendiri pernah diajukan, apakah diri ini ingin terus menjadi orang2 yg jujur & ikhlas dlm bekerja sdgkan diri akan terang2an ditindas?

saya terdiam. lama. akhirnya saya beri jawapan yg saya lebih rela ditindas drp hidup dgn kepura2an yg nyata tidak mendatangkan ketenangan apalagi rahmat dari tuhan. & kini persoalan & pendirian saya dikukuhkan lagi dgn artikel ini.

siapa kita abg, utk menentukan & menghukum seseorang itu baik atau tidak, kejam atau tidak, alim atau tidak? sdg diri kita sendiri penuh dgn noda & daki2 dunia yg entahkan terampun olehNya entahkan tidak.

jika saya jadi kakak itupun, saya sendiri takkan tukarkan kenaikan gaji & hidup bermewah2 dgn anak2 yg menjadi. apalah guna harta bertimbun kiranya anak2 liar & kurang ajar? apalah guna hidup mewah seandainya hati sentiasa resah memikirkan sang anak entah berada di mana lewat2 malam belum pulang?

selebihnya saya percaya bahawa Allah telah mengatur satu perjalanan hidup yg terbaik utk saya belajar, merenung & berfikir. pahit, getir, suka, tawa, bahagia & derita itu semuanya saya perlu tempuhi sebagaimana kehendaknya agar saya terbentuk menjadi sebagaimana diri saya hari ini.

& utk itu, saya sgt2 bersyukur..

iDAN said...

... ramai sangat rasanya kita memandang sahaja tanpa mengubah; itu yang abg gusarkan; malahan ada pula antara kita terusan berkompromi dengan golongan ini...

bila telah tua begini abg lihat rakan abg masih ramai tertindas biar pun mereka masih terus hidup tetapi kita terasa kita perlu membetulkannya...

jika kita tanpa sedar membiarkan keadaan ini terusan bernanar! dunia ini akan tambah hancur...

tamadun dunia sering kita amati lantaran sikap terlampau kita membiarkan sesuatu penghambaan & penindasan ini maka bala akan diturunkan Ilahi;

bila bala itu turun mereka tak berdosa pun terasa akan musibahnya; ini yg perlu kita sedarkan.

tidak meletakkan yang hak itu kpd yang berhak itu namanya penindasan atau tak jauh beda dengan korapsi!

Bila Dik Ieja menjadi seorang Ketua nanti kena perbetulkan perbuatan ini. Abg antara orang yang memperjuangkan masalah perkerja sektor awam hingga abg bersara... buat secara senyap pun boleh. Kita ada Biro Aduan Awam yg lebih telus dalam menangani masalah Akak ini.

Abg tak marah tulisan Dik Ieja tetapi abg amat bersimpati dengan Akak ini; terkadang kerja makan gaji sedikit kelemahan diri dijadikan penyebab jasa kita diketepikan. Bukan minta dibalas jasa kita di dunia ini; tetapi kasihan kpd anak atau mereka yang punyai hak untuk imbuhan ibu atau ayahnya yang diketepikan oleh majikan.

Samalah kes Afiz nak berpraktikal tempoh hari; bukan satu dua kompeni milik org cina kami pergi memohon berpraktikal di sana. Dia ambil kos pemasaran; maka tempat terbaik mestilah di syarikat atau kilang. Semua itu milik org cina. Kami tak dilayan tak ada pun surat jawaban. Akhirnya Afiz hanya dapat di syarikat milik org kita. Al-Jabbar.

Benda begini kena dibetulkan. Bumi milik kita tetapi kita tak punyai peluang yang lebih terbuka di bumi sendiri di masyarakat kaum cina.