Dara mendengus kecil. Ah bukannya Dara tak tahu hakikat tentang semua ini. Malah telah diingatkan berkali-kali oleh Aduka tentang kesibukan dan tanggungjawabnya yang menanti. Dara sendiri tak mengerti. Sebelum ini, Dara yakin benar boleh memahami dan menerima semuanya. Namun entah kenapa, malam ini hati Dara bagai ditarik-tarik oleh rasa sendu dan hiba. Yang pasti, Dara sedang lemas dalam kerinduannya terhadap Aduka. Tumpah lagi airmata Dara.
Di luar rumah, bunyi cengkerik yang saling bertingkah mewujudkan irama alam yang harmoni dan mengasyikkan. Angin malam yang berpuput lembut menerusi jendela yang terbuka berebut-rebut menyapa wajah. Segera Dara menarik sehelai lembaran lantas memulakan tinta hatinya.
Salam kasih salam kudus…
Sesungguhnya di keheningan dan kedinginan malam yang mulia ini
Tuhan Yang Esa dan seluruh alam ini menjadi saksi
Ketahuilah oleh kanda
Bahawa kasih sayang dinda terhadap kanda adalah suci
Tiada terlafaz dengan kata-kata selama ini
Hanya diungkapkan melalui kepatuhan, kesetiaan dan
penghormatan yang tiada berbelah bahagi
Tulus daripada seorang isteri buat sang suami
Hanya itu yang mampu dinda beri
Kerna dinda adalah seorang yang tak punya apa-apa di dunia ini..
Dinda tak mampu mengucapkan
Sebarang kata-kata ini di hadapan kanda
Lantaran rasa hormat dinda pada kanda yang terlalu tinggi
Selain lidah yang semerta kelu tatkala ingin berbicara
Serta rasa malu yang membaluti hati..
Duhai kekandaku,
Padang Arafah dan Tanah Haram dulu pernah menjadi saksi
Di puncak Jabal Rahmah dan di hadapan Kaabah dinda berdiri
Dinda pinta seorang suami yang beriman dan beramal soleh,
Berpekerti tinggi, pandai mengambil dan menjaga hati
Kedua ibubapa dinda serta disenangi mereka,
Serta mampu membimbing dinda ke arah jalan yang diredhai Allah..
Maka ketahuilah olehmu duhai kekanda
Dinda meyakini yang doa dinda telahpun dimakbulkan Ilahi
Setelah dinda diangkat menjadi surimu..
Dan kepada tuhan jualah
Dinda panjatkan rasa syukur yang tiada terhingga..
Lantaran itu kekandaku,
Dinda pernah berikrar di depan kanda
Bahawasanya dinda tidak akan menikahi sesiapa pun selain kanda
Sebelum mahupun sesudah kanda
Melainkan kehendak Ilahi bertentangan dengan kehendak dinda…
Doa dan pinta dinda saban waktu
Cukuplah dinda punya seorang suami
Cukuplah dinda berkahwin hanya sekali
Biar di alam mana sekalipun
Dinda cuma ingin bergelar isteri hanya buat kanda
Hanya itulah tanda kasih dan sayang dinda
Buatmu duhai kekanda…
Demi sesungguhnya,
Dinda mengasihi dan menyayangi kanda
Hanya kerna Tuhan yang Maha Esa…
~ 29 Syaaban ~