Lama Dara merenung wajah Aduka yang tertidur pulas. Nyenyak sekali Aduka melayari alam mimpinya biarpun jelas terlukis garis-garis kepenatan dan kelelahan. Setelah sekian lama Aduka berbakti pada tanahair, akhirnya siang tadi Aduka selamat pulang dari medan pertempurannya.
Terkenang Dara saat berada di dalam pelukan Aduka tadi. Menjalar rasa kehangatan ke seluruh tubuh Dara yang telah sekian lama kedinginan dan kesepian sejak pemergian Aduka. Saat mata saling bertentangan, segala yang tersimpan dan terbuku sekian lama terungkap tanpa bicara, tersingkap melalui pandangan jernih yang berkaca-kaca dengan penuh ketulusan.
Tersendu Dara seketika menahan sebak. Betapa Dara terlalu merasai ketiadaan Aduka. Dalam rasa sendu yang tertahan, Dara panjatkan ribuan kesyukuran pada Yang Esa kerana masih diberi kesempatan untuk terus bersama. Dara gembira malah teramat bahagia biarpun peluang ini hanya seketika sebelum Aduka berpergian kembali.
Dara terus menatap wajah Aduka. Seolah-olah ingin dirakamkan setiap inci wajah tenang itu. Dara sedar kehidupan mereka tidak sebagaimana pasangan suami isteri yang lain, namun Dara tetap bahagia. Malah jika dibandingkan dengan ramai pasangan lain yang sering berantakan, berdepan pula dengan suami yang tidak bertanggungjawab atau panas baran, serta pelbagai masalah rumahtangga lainnya,
Dara jauh lebih bertuah kerana layanan Aduka pada Dara tak pernah berkurangan. Aduka tetap melayan Dara dengan penuh kasih dan mesra. Walaupun jauh di pandangan mata, Aduka tetap mengingati Dara. Walaupun sempat bermesra hanya seketika, namun mereka tetap merasa bahagia.
Dara sebenarnya beruntung. Malah sangat beruntung. Seramai-ramai gadis di mukim Semerah Padi, Dara yang piatu ini menjadi pilihan sedangkan Aduka menjadi pujaan ramai gadis desa malah menjadi impian setiap ibu bapa untuk mengangkat Aduka sebagai calon menantu mereka. Segera keharuan mengepung segenap jiwa Dara.
Sekali lagi Dara mengungkapkan kesyukuran padaNya kerana dikurniakan seorang suami yang sangat penyabar serta penuh dengan rasa tanggungjawab. Resam hidup berumahtangga, terkadang perselisihan terjadi juga. Sesekali apabila Dara terasa ingin bermanja, Dara berjauh hati kerana merasakan yang Aduka mengabaikannya. Namun Aduka tetap sabar melayan rajuknya. Walaupun rajuk Dara adakalanya keterlaluan, Aduka tetap melayan kerenah Dara dengan tenang dan mendatangi Dara dengan senyuman. Betapa terharunya Dara hingga hampir-hampir menumpahkan airmata.
Tiba-tiba dahi Dara dikucup lembut. “Dinda belum tidur lagi?” Suara gemersik Aduka menyapa telinga. Dara hanya mampu menggelengkan kepala. “Dinda diganggu nyamuk barangkali. Hai, sang nyamuk manakah yang sungguh berani mengganggu permaisuri kanda ini ingin beradu agaknya?” Dalam nada penuh prihatin Aduka masih sempat berseloroh, namun sudah cukup untuk membuatkan Dara tersenyum. Sambil merangkul erat tubuh Dara, Aduka berkata, “Dinda tidur ya? Biar kanda dodoikan.”
Dengan seribu daya
Walau terkorban nyawa
Rela kanda rela
Andainya buana
Terbelah dua
Tapi dalam hati
Takkan berubah
Itulah sumpah kekanda
Hamba kan setia
Hingga akhir riwayat
Bahagia kasih mesra
Sepanjang hayat
Itulah sumpah kekanda
Kanda lindungi dinda
Dengan seribu daya
Walau terkorban nyawa
Rela kanda rela
Dengan penuh rasa keharuan, Dara berikrar di dalam hati untuk lebih memahami keadaan serta diri Aduka tanpa sering merajuk atau tanpa banyak persoalan lagi. Kelak Dara akan belajar untuk menghimpun lebih banyak kesabaran dalam menghadapi segala ujian dan dugaan yang mendatang. Dara juga berazam untuk tidak akan menuntut layanan yang berlebih-lebihan lagi serta menerima apa sahaja yang sempat Aduka berikan semampunya. Dara nekad untuk menjadi isteri terbaik buat Aduka.
Dara percaya dengan kata-kata Aduka. Walau waktu, masa dan ketika memisah antara keadaan, biarpun mereka terpisah dek benua sekalipun, namun ikatan hati yang terpatri akan tetap kukuh dan ingatan yang terpahat takkan mungkin dilupakan. Semoga mendapat rahmat dan perkenan dari Yang Esa.
Serentak itu Dara mengucup pipi Aduka lantas dibalas dengan ciuman hangat di kedua-dua kelopak mata Dara. Dengan penuh rasa bahagia bersulam cinta, Dara terus tenggelam dalam dakapan kasih Aduka dan suara Aduka pun kian sayup pada pendengaran Dara.